Sunday, December 19, 2010

Gaya Bahasa Puisi (Bgn. 2)

ASPEK DIKSI
Perkataan-perkataan yang digunakan penyajak dalam puisi mereka. Memberi  gambaran/kesan terhadap keseluruhan penggunaan bahasa.
Ø  Kata Asing
Istilah asing dalam karya bagi memberikan kesan dan gambaran sebenar puisi yang dihasilkan cth: bahasa Arab, bahasa Inggeris, bahasa Indonesia. Memberi kesan dan mesej terhadap persoalan yang ingin disampaikan oleh Penyajak.
Ø  Kata Tempatan/Dialek
Dialek tertentu yang digunakan dalam sesebuah sajak. Kadang-kadang akan ditemukan kata-kata tempatan Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dll.
Ø  Sinkof (Singkatan)
Perkataan-perkataan yang sengaja disingkatkan oleh Penyajak supaya lebih ekonomis dan indah didengar. Perkataan yang panjang dan berganda memang selalu dipendekkan seperti tak, nak, mau dsbnya.
Ø  Gandaan
Kata-kata yang berganda atau berulang-ulang untuk memberikan penekanan terhadap mesejnya. Menunjukkan banyak atau penekanan yang lebih supaya member kesan kepada pendengar/pembaca.
Ø  Onomatopia
Peniruan bunyi-bunyian alam. Kata-kata yang digunakan untuk meniru suara atau bunyi yang dihasilkan oleh objek, gerak, binatang atau manusia.
Ø  Simbol
Kata-kata yang dipilih mempunyai erti lain di sebaliknya atau disebut juga sebagai lambang. Simbol yang universal atau biasa yang mudah difahami berbanding symbol yang dinamik, peribadi atau sengaja dicipta baharu oleh Penyajak.
Cth:  warna
Merah = berani, bahaya, cemas, garang, gelora
Putih = suci, harapan, bersih, gembira, mengaku kalah
Hitam = kotor, durjana, jahat, sengsara, celaka, hantu, noda
Hijau = muda, baharu, harapan, segar, remaja, cemburu
Biru = rindu, dendam, kasih, cinta
Kuning = bangsawan, kesultanan, keemasan, ketinggian, sakti, keagungan
Cth: masa
Senja = peralihan dari bahagia kepada sengsara/derita, bimbang, keluh-kesah, peralihan ke usia tua
Malam = derita, sengsara, kecewa, putus asa, tiada harapan, kemusnahan
Fajar = harapan baru, peralihan dari duka kepada bahagia
Siang = harapan, ketenangan, permulaan, bahagia
Pagi = hidup baru
Ø  Personifikasi
Memberikan kiasan pada sifat-sifat manusia dari segi perasaan, perwatakan dan tindak-tanduk terhadap objek-objek mati ataupun binatang, idea atau benda-benda yang abstrak. Melaluinya, binatang atau benda-benda yang bukan manusia ini digambarkan mempunyai perasaan, berperibadi, beremosi dan berfikiran seperti manusia. Menjadi satu gejala yang menghidupkan estetika sebuah puisi. Memberi kesan yang kuat pada pembaca supaya terasa keindahan mesej yang disampaikan.
Ø  Klise
Kata-kata atau frasa yang telah pudar, kurang asli dan tidak segar kerana digunakan secara berulang-kali dan bersifat stereotaip membuatkan pembaca tidak merasakan sesuatu yang baru dan indah.  Makna yang lahir daripadanya terasa tumpul dan tidak merangsang minat pembaca. Cth.nya ‘angin sepoi-sepoi bahasa’ atau ‘pepohon melambai-lambai’. Frasa yang mengambil bidalan dan peribahasa melayu juga adalah kategori klise.
Ø  Paradoks
Pemilihan frasa yang memperlihatkan dua keadaan berlawanan dalam baris-baris puisi secara eksplisit mahupun implisit. Cth.nya ‘malam siang’ atau ‘kekayaan yang memiskinkan’. Perlawanan dari segi maksud sengaja dipilih.
Ø  Ambiguiti
Frasa yang memberikan lebih dari satu makna. Meninggalkan ketidakpastian tentang maksud sebenar pernyataan tersebut. Kecenderungan mengujudkan lebih dari satu makna menimbulkan kekeliruan tetapi ianya merupakan ketajaman idea untuk dikomunikasikan kepada pembaca dalam pelbagai cara supaya melahirkan variasi pemikiran.

No comments:

Post a Comment